SHAH ALAM 11 Mei - Kerajaan diminta tidak menggunakan mekanisme harga dan meningkatkan subsidi bagi menangani krisis bekalan makanan ketika ini, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan perlu melakukan kajian secara menyeluruh mengurangkan beban rakyat dengan berusaha mencari jalan bagi menambahkan bekalan makanan untuk menampung keperluan mereka.
Menurutnya, jika kerajaan hanya memberi penumpuan untuk menurunkan harga bekalan makanan dengan meningkatkan subsidi, ia dilihat tidak menyelesaikan masalah itu secara total.
Jelas beliau, usaha berkenaan tidak akan memberi kesan kepada peningkatan harga makanan termasuk beras.
''Kalau bekalan makanan itu memang tidak cukup, harganya akan tetap di situ (kekal tinggi) juga, walaupun kerajaan menurunkan harga atau menambah subsidi.
''Oleh itu, kerajaan tidak harus buat pengumuman popular (menurunkan harga dan menambah subsidi) tetapi membuat kajian sebaik-baiknya untuk menyelesaikan masalah ini dengan menambah bekalan makanan dalam negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel sempena Forum Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Dasar Pandang Ke Timur di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas pengumuman kerajaan semalam mengenai kemungkinan akan menambah subsidi sebanyak RM45 bilion pada tahun ini bagi mengurangkan beban rakyat sekiranya krisis makanan dan harga minyak petroleum di pasaran dunia berlarutan.
Jumlah itu melebihi RM5 bilion peruntukan pembangunan negara bagi tahun 2008 untuk menyelesaikan masalah krisis berkenaan yang dihadapi oleh rakyat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan, setakat ini, Malaysia masih mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan kerajaan tidak akan berdiam diri selain terus memantau perkara itu supaya negara tidak terjerumus ke dalam dua krisis berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut memberitahu, dasar kerajaan yang memberi tumpuan untuk memajukan sektor pertanian negara dilihat dapat mengurangkan masalah krisis makanan ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, penumpuan terhadap sektor utama itu dijangka menimbulkan masalah lain termasuk pengangguran kerana sektor berkenaan sebenarnya tidak menjana kepada peluang pekerjaan untuk rakyat.
Sebaliknya, kerajaan perlu memberi tumpuan yang seimbang dengan industri kerana hanya sektor industri akan memberi manfaat kepada pertambahan peluang pekerjaan untuk jangka masa panjang.
''Sebidang tanah untuk tujuan pertanian, ia dapat menyokong seorang petani. Sekiranya sebidang tanah digunakan untuk bina kilang, paling kurang, ia mampu memberi 500 peluang kerja kepada rakyat.
''Oleh itu, kerajaan perlu menseimbangkan sektor ini. Pada masa saya dahulu (jadi Perdana Menteri), saya tak abaikan pertanian, tetapi saya beri tumpuan kepada industri kerana sektor ini wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat,'' katanya.
Antara ahli panel dalam forum anjuran Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) itu ialah Profesor Diraja Ungku Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.
Sumber: Cari jalan tambah bekalan makanan - Dr. Mahathir, Utusan Online



No comments:
Post a Comment