PUTRAJAYA 7 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Barisan Nasional (BN) mengambil serius tentang kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada mulanya beliau mengabaikan tentang kemungkinan tersebut tetapi setelah meneliti situasi yang ada, keadaan sekarang begitu berbahaya.
''Saya fikir ini ada kemungkinan (pertukaran kerajaan) yang tidak boleh kita abaikan.
''Pada masa ini, ahli-ahli politik menunjukkan minat tentang berapa banyak yang boleh mereka peroleh dan mereka tidak betul-betul berminat untuk berkhidmat kepada negara,'' katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, desakan untuk melompat parti timbul apabila tidak wujud lagi kesetiaan kepada parti dan sesetengah pihak yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa sekarang mempunyai peluang mendapat jawatan penting dalam kerajaan baru.
Ditanya adakah perkara tersebut dirasakan satu kebimbangan besar baginya, beliau berkata, sekiranya tindakan lompat parti itu berlaku, negara ini akan mengalami lebih banyak konflik.
Mengenai ahli-ahli Parlimen yang mungkin melompat parti, Dr. Mahathir berkata, UMNO dan parti komponen utama dalam BN seperti MIC dan MCA mempunyai akar umbinya di Semenanjung tetapi keadaan berbeza di Sabah dan Sarawak.
''Walaupun UMNO ada di Sabah, ia tidak sama di sini (Semenanjung), mereka pernah ada USNO dan Pairin Kitingan dulu juga pernah mendapat sokongan daripada orang-orang ini.
''Jadi, bolehkah kita yakin yang mereka akan terus memberikan kesetiaan yang kuat kepada UMNO, saya tidak fikir begitu,'' katanya.
Malah, beliau berkata, terdapat beberapa ahli Parlimen di Semenanjung yang jika mereka fikir boleh mendapat sesuatu daripada kerajaan baru, kumpulan tersebut juga bersedia melompat parti.
''Ini terutama apabila dirasakan jika berbuat demikian, mereka akan dapat terus berada dalam kerajaan,'' katanya.
Kata beliau, keadaan tersebut berbeza berbanding dahulu ketika BN memiliki majoriti lebih dua pertiga.
Katanya, ketika itu tidak timbul masalah kemungkinan ahli-ahli Parlimen melompat parti kerana BN dan jika terdapat parti komponen berpaling tadah sekali pun, mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan.
''Berbeza sekarang apabila melompat dan sertai kerajaan lain, mereka tidak akan mengalami apa-apa kerugian malah boleh mewujudkan permainan politik,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir membidas larangan kepada bahagian UMNO untuk mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) dan menyifatkannya ia sebagai suatu yang tidak demokratik.
''Itulah UMNO yang ada sekarang, ini bukan UMNO yang sebenar (berbeza), pada zaman saya dahulu UMNO melaksanakan kempen untuk menentang saya tetapi mereka tidak dihalang.
''Sekarang kita tidak boleh bercakap tentang apa yang kerajaan tidak suka,'' katanya.
Sambil memberikan contoh, Dr. Mahathir berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau ada menyatakan hasrat ingin bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu-isu semasa atas rasa keprihatinannya tentang apa yang berlaku dalam UMNO.
''Dia (Najib) kata dia akan datang jumpa saya tetapi perlu mendapat kebenaran dahulu daripada Perdana Menteri. Rupanya dia tidak mendapat kebenaran, jadi, sampai sekarang dia tidak berjumpa saya
''Ini sungguh teruk apabila Perdana Menteri tidak mempercayai timbalannya. Pada zaman saya, saya mempercayai timbalan saya sehinggalah dia melakukan sesuatu yang pelik,'' katanya.
Menurut Dr. Mahathir, UMNO perlu membenarkan EGM di bahagian-bahagian bagi membolehkan ahli-ahli parti membuat perubahan ke atas peraturan kuota 30 peratus bagi membolehkan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti dilaksanakan.
''Jika tidak dapat mengubah syarat kuota tersebut, dengan sikap ketua-ketua bahagian sekarang, tidak ada satu bahagian pun yang akan mencalonkan orang lain kecuali Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).
''Jadi, jika tidak ada 60 bahagian UMNO yang mencalonkan sesiapa kecuali Pak Lah, maka pada Disember ini, beliau akan menang tanpa bertanding... (kerana) orang sungguh takut dan amalan cium tangan telah bermula,'' katanya.
Sumber: 'Situasi BN sekarang berbahaya', Utusan Online



No comments:
Post a Comment