KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap sesetengah ahli politik yang suka melompat parti selepas ditawarkan ganjaran lumayan membuktikan mereka berjuang bukan kerana agama, bangsa dan negara sebaliknya semata-mata atas kepentingan peribadi.
Bekas Perdana Menteri berkata, perbuatan melompat parti hanya dilakukan oleh mereka yang tidak berminat memperjuangkan bangsa atau negara sebaliknya lebih cenderung menjaga kedudukan sendiri.
“Pada masa ini, ahli politik lebih berminat dengan apa yang mereka dapat, bukannya berkhidmat kepada negara. Mereka yang merasa tidak dapat apa yang diinginkan pasti sukar menahan godaan untuk melompat parti apabila ditawarkan sesuatu.
“Kalau ada duit, mereka sanggup lompat ke mana-mana dan tujuan mereka semata-mata untuk mencari dan menjaga tempat yang boleh memberikan keuntungan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran buku yang mengisahkan kehidupan, pembabitan dan pengorbanan Sher Mohamed Baksh yang menyertai Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu (FMS) pada 1933, ketika berusia 18 tahun.
Hadir sama, Profesor Diraja Ungku Aziz dan Pengerusi Yayasan Tun Razak yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Hanif Omar.
Mengenai sikap Pengerusi DAP, Karpal Singh yang masih enggan meminta maaf daripada Sultan Perak, Dr Mahathir berkata perkara itu membuktikan pemimpin sekarang sudah tidak lagi menghormati pemerintah negara.
Sumber: 'Lompat parti pentingkan diri', Berita Harian Online
Thursday, May 22, 2008
Lompat parti pentingkan diri
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
1. Kita banyak dengar tentang kemungkinan ahli parti Barisan Nasional lompat masuk parti lawan.
2. Jika 35 ahli masuk parti lawan, parti BN akan jatuh. Parti lawan akan menang dan akan dirikan Kerajaan.
3. Apa akan jadi pada wakil rakyat BN yang lompat? Mereka tidak akan jadi Perdana Menteri kerana sudah tentu pemimpin Pakatan akan jadi PM. Ahli-ahli Pakatan yang lain juga ingin jadi Menteri dan Timbalan Menteri.
4. Berapa tempat yang tinggal pada ahli BN yang lompat? Tentu tidak semua mereka akan dapat tempat. Mereka akan terus jadi pengikut Pakatan sahaja, seperti mereka mengikut Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum mereka lompat.
5. Jika Ahli Dewan Rakyat BN keluar dari BN tetapi tidak masuk parti lawan mereka akan bebas menyokong atau menolak undang-undang atau dasar parti Kerajaan atau usul-usul parti lawan. Mereka bebas mengecam parti Kerajaan jika melakukan kesalahan, demikian juga apabila parti lawan membuat atau pun melakukan perkara yang salah.
6. Jika jumlah yang tinggal BN cukup untuk kurangkan penyokong Kerajaan supaya tidak ada majority lagi, Kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah akan jatuh.
7. Kerajaan baru hanya boleh didirikan jika dipersetujui oleh ahli-ahli yang keluar BN, kerana mereka memiliki cukup undi untuk menentukan BN atau Pakatan yang menjadi majoriti dalam Parlimen.
8. Jika BN ganti Dato Seri Abdullah dengan orang lain yang berani, kumpulan yang keluar dari BN boleh sokong BN semula dan BN akan kembali jadi Kerajaan.
9. Ini adalah satu cara untuk memaksa Dato Seri Abdullah letak jawatan. Kemudian semua yang lompat boleh masuk balik parti masing-masing.
10. Percayalah, mereka daripada parti komponen BN yang telah sokong parti lawan PRU 12 akan kembali sokong BN apabila Dato Seri Abdullah bukan lagi Perdana Menteri.
Sumber: Lompat oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu, 21 Mei, 2008
Lobi
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
1. Dengan kata lain, Malaysia lebih kehadapan dalam menentukan apa yang betul dan apa yang salah berbanding dengan beberapa negara maju.
2. Di Amerika Syarikat, tindakan melobi adalah dibenarkan dan disanjung tinggi. Banyak orang ternama terutama bekas-bekas menteri mempunyai firma yang menawarkan perkhidmatan ini.
3. Bagi negara-negara asing termasuk Malaysia mendapati perkhidmatan ini sangat mudah. Contohnya kita melobi dalam membentuk polisi yang menguntungkan dalam mengimport minyak kelapa sawit,timah dan getah ke Amerika Syarikat.
4. Parti Bebas (Independent Party in USA) menganggap idea mereka tentang polisi luar negara AS seperti membentuk 'New America Century ' dapat dilaksanakan dengan penggunaan kereta kebal. Hasilnya mereka berjaya dan sejuta rakyat iraq terbunuh.
5. Sebelum ini, Castro seorang pelobi Cuba telah melobi bagi memastikan gula yang dihasilkan di Cuba akan diimport ke AS. Hari ini pihak anti-pelobi Castro cuba memastikan bahawa gula Cuba adalah diharamkan di AS.
6. Semua aktiviti melobi adalah sah di sisi undang-undang. Pelobi ini dibayar dengan kadar yang tertentu dan mereka akan melaksanakan tugas mereka seperti yang anda ingin mereka lakukan.
7. Di Malaysia, tidak terdapat pelobi profesional mahupun undang-undang yang menentang tindakan melobi ini. Kita juga tidak mengkhususkan tindakan melobi yang bagaimana adalah dibenarkan dan yang mana tidak.
8. Tetapi kita telah membuat keputusan bahawa tindakan melobi adalah salah di sisi undang-undang dan sesiapa yang mengupah atau mengambil upah untuk melakukan aktiviti ini adalah penjenayah. Syabas Kerajaan kerana telah membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih dihormati berbanding AS.
9. Perdana Menteri, menteri-menteri dan mereka-mereka yang berpengaruh atau berkuasa dalam Kerajaan sering kali disuruh untuk menulis surat bagi menyokong sesuatu tujuan atau seseorang.
10.Tidak ketinggalan juga Timbalan Perdana Menteri. Mereka ini juga telah dilobi oleh banyak orang. Saya merasakan bahawa mereka tidak melakukan sesuatu perkara yang salah.
11. Tetapi, jika ada seorang Timbalan Perdana Menteri menulis surat cadangan (pengsyoran/rekomen) untuk iparnya kepada seseorang pegawai atau menteri dari negara lain yang mana boleh dibuat anggapan bahawa mereka akan mengambil serius cadangan tersebut kerana ianya dari Timbalan Perdana Menteri sebuah negara yang bersahabat dan cadangan itu adalah untuk iparnya, adakah ini tindakan melobi, atau rasuah atau penyalahgunaan kuasa? Kita perlu ketahuinya supaya surat cadangan seperti itu tidak ditulis lagi. Kita perlu ketahui samada surat seperti itu ada ditulis sebelum ini, bolehkah tindakan diambil terhadap mereka sekarang kerana sekarang ini kita sedang mengambil tindakan terhadap perkara yang berlaku pada masa lalu. Dengan memahami dengan jelas apa yang berlaku pada masa lalu, masa sekarang dan pada masa hadapan, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang unggul dalam melakukan sesuatu kebenaran dan sebagai pengamal peraturan perundangan.
Sumber: Lobby oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa, 20 Mei, 2008
Wednesday, May 21, 2008
Memang kehendak Dr. Mahathir?
TANGGAL 19 Mei 2008 mungkin tidak boleh dilupakan rakyat Malaysia apabila tokoh paling disegani dan dikagumi bukan sahaja di dalam negara malah antarabangsa, Tun Dr. Mahathir Mohamad melemparkan ‘bom’ yang mengejutkan sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli UMNO.
Bermula dalam satu forum perpaduan Melayu di Alor Star, hanya menerusi ungkapan “saya umumkan keluar dari UMNO,” cukup untuk menggegarkan seluruh negara dan boleh membuatkan ramai yang menangis khususnya di kalangan ahli parti berkenaan.
Kesan daripada pengumuman negarawan yang disanjungi itu, ramai yang sampai sekarang masih ‘terkejut’ sambil memperkatakan bagaimana Dr. Mahathir sanggup bertindak demikian dan apakah cerita di sebalik forum bertajuk Nasib Kedudukan Bangsa Melayu anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu?
Sebenarnya, tidak ada petanda awal bahawa Dr. Mahathir akan membuat pengumuman drastik itu walaupun sebahagian besar daripada lebih 1,000 tetamu yang hadir di forum tersebut, awal-awal pagi sudah berkumpul menanti ketibaannya di sebuah hotel.
Forum bermula dengan ucapan pengerusi dewan berkenaan, Tan Sri Khalid Abdullah yang terlebih dahulu memperkenalkan fungsi badan diwakilinya sebagai sebuah pertubuhan bebas, tidak bersandarkan politik tetapi bertindak memperbetulkan keadaan khususnya dalam menyatukan orang Melayu.
Cuma, agak ‘pedas’ apabila Khalid mempersoalkan tentang barisan menteri yang tidak ada wakil dari Kedah dan dianggapnya sebagai zalim dan diberi tepukan gemuruh. Permulaan daripada Khalid bolehlah dianggap sebagai ‘pemanas enjin’ dan sebelum Dr. Mahathir ‘masuk gear.’
Benar bagai diduga, apabila Dr. Mahathir mula bercakap, sesiapa pun tidak berganjak, malah sesekali beliau sempat berjenaka yang menyerlahkan lagi betapa bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu bijak ‘menguasai gelanggang.’
Mendesak
Tidak ada apa yang mengejutkan. Apa sahaja kritikan terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah biasa kerap kali diluahkan termasuk mendesak Abdullah meletakkan jawatannya berikutan keputusan buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Sehinggalah apabila sampai suatu ketika Dr. Mahathir membuat satu cadangan sambil bertanyakan sama ada ahli-ahli UMNO berani untuk menyahut cabarannya supaya pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian meletak jawatan dan keluar daripada UMNO.
Sekali lagi dewan bergemuruh apabila orang ramai menyahut cabaran Dr. Mahathir ketika beliau bertanyakan sama ada mereka berani atau tidak untuk berbuat demikian?
Bagaimanapun, ramai yang langsung tidak menyedari atau terfikir di sebalik cabaran Dr. Mahathir itu, apakah beliau sendiri bakal keluar daripada UMNO kerana persoalan yang dikemukakan cuma untuk pemimpin-pemimpin cawangan dan bahagian?
Kemungkinan besar, jika tidak ada dialog atau sidang akhbar, Dr. Mahathir tidak akan mengumumkan keluar UMNO atau sekiranya beliau mahu berbuat demikian sekali pun, ia dilakukan pada masa lain, bukannya kelmarin.
Ada yang berpendapat demikian kerana ramai beranggapan sesi dialog merupakan pencetus segala-galanya. Tumpuan diberikan kepada seorang peserta, Ismail Wan Teh yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) apabila dia bertanyakan kepada Dr. Mahathir mengenai kedudukannya selepas meminta pemimpin-pemimpin UMNO itu meletak jawatan dan keluar daripada parti berkenaan.
Sampai di sini, tumpuan terus diberikan kepada Dr. Mahathir yang secara spontan menganggap ia adalah satu cabaran dan jawapan diberikan sudah cukup untuk membuatkan seluruh dewan bergemuruh.
Secara terus terang, jawapan Dr. Mahathir di hadapan 1,000 tetamu ialah “Saya akan umum keluar dari UMNO.” Jawapan yang ketika itu sudah cukup untuk menarik perhatian tetapi belum begitu merisaukan.
Tentulah, hasil daripada dialog tersebut menimbulkan pertanyaan khususnya di kalangan wartawan yang membuat liputan kerana ingin mengetahui bilakah Dr. Mahathir akan membuat pengumuman secara rasmi. Ini kerana di sebalik keributan tindakan Dr. Mahathir itu, ramai yang kurang sahih apakah Dr. Mahathir sudah keluar atau akan mengumumkannya kemudian?
Akhirnya, jawapan paling tepat ditemui. Pada sidang akhbar selepas dialog tersebut, Dr. Mahathir terus diasak bertubi-tubi mengenai tindakannya itu dan beliau mengesahkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dengan memberi syarat akan kembali selepas Abdullah meletakkan jawatannya.
Kesimpulannya tidak kira sama ada Ismail atau wartawan yang dikatakan mencetus kepada pengunduran Dr. Mahathir daripada UMNO, sebenarnya perlu dilihat ialah bekas Perdana Menteri itu mungkin telah bersedia meninggalkan parti yang paling disayanginya.
Mengenali peribadi Dr. Mahathir, beliau mempunyai keberanian mengambil risiko. Sikap itu menjadikan beliau cukup tabah walaupun terpaksa berdepan pelbagai kritikan. Jadi, tidak mungkin ketika meminta pemimpin UMNO keluar parti, beliau pula tidak bersedia jika dicabar mengambil tindakan sama.
Sumber: Memang kehendak Dr. Mahathir?, Utusan Online
Mukhriz nafi akan keluar parti pada Julai
KUALA LUMPUR 21 Mei — Anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menafikan yang beliau akan keluar dari parti sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meletakkan jawatan Julai ini.
Mukhriz berkata apa yang disuarakan dalam kenyataannya semalam ialah beliau mempunyai hak untuk mengubah pendirian (kekal dalam UMNO) pada bila-bila masa mengikut perkembangan terkini dan beliau tidak menyatakan hanya ada satu cara iaitu keluar parti, sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh diambil.
"Saya tidak kata menjelang Julai jika Perdana Menteri tidak berundur, maka saya akan keluar parti,” jelas beliau kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Mukhriz yang juga anggota Parlimen Jerlun berkata Julai adalah merujuk kepada mesyuarat cawangan yang akan bermula dan beliau berharap satu perubahan drastik akan berlaku sebelum mesyuarat cawangan bermula dan bukan mengambil keputusan keluar parti.
Mukhriz, pada sidang akhbar semalam, dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengubah pendiriannya itu jika sehingga Julai, Abdullah tidak meletak jawatan.
Mukhriz juga menyatakan tidak akan mengikut jejak langkah bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno dua hari lepas.
Beliau berkata tidak perlu keluar dari parti kerana banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diperjuangkan bukan sahaja untuk parti malah bagi kawasan Parlimen yang diwakilinya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin kesal dengan kenyataan Muhkriz semalam dan berkata akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno.
Dalam reaksinya, Mukhriz berkata, beliau sedia untuk menghadapi sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya dan merasakan proses dilalui sekarang ini akan terus memberikan kekuatan kepada Pemuda Umno.
"Saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kalau saya sendiri tidak sanggup menerima tindakan termasuk daripada Jawatankuasa Pengurusan,” katanya sambil menganggap kenyataan Hishammuddin itu ekoran daripada salah faham terhadap kenyataannya semalam.
Mukhriz berkata beliau akan menghadiri mesyuarat exco Pemuda Jumaat ini seperti biasa kerana ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan kritikan dari kalangan rakan-rakannya sendiri.
— BERNAMA
Sumber: Mukhriz nafi akan keluar parti pada Julai, Utusan Online pada 21/05/2008 9:44pmMokhzani keluar UMNO
KUALA LUMPUR 21 Mei _ Bekas Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mokhzani Mahathir, 47, mengumumkan keluar daripada UMNO mengikuti jejak bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Datuk Mokhzani berkata, beliau telah menghantar surat membatalkan keahliannya dalam UMNO kepada Pejabat UMNO Bahagian Merbok, semalam dan berkuat kuasa serta-merta.
``Saya akan terus berkhidmat kepada negara, kerana untuk berkhidmat kepada negara tidak semestinya hanya melalui politik,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber: Mokhzani keluar UMNO, Utusan Online pada 21/05/2008 12:33pm
Tuesday, May 20, 2008
Pengumuman Keluar Dari UMNO
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.
Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.
UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.
Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.
Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.
Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.
Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.
Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.
Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.
Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.
Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.
Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.
Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.
Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.
Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.
Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.
Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.
Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)
Sumber: Pengumuman Keluar Dari UMNO oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Isnin, 19 Mei, 2008
Saya sedia disiasat dan didakwa di mahkamah
JOHOR BAHRU 17 Mei — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau bersedia disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung dengan hasil siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai klip video Datuk V.K Lingam.
Pendakwaan terhadapnya di mahkamah akan memberi peluang kepadanya untuk menerangkan tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim-hakim termasuk berkenaan usaha melobi, kata Dr Mahathir kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan ucaptama di Forum Umno Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 anjuran Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar Umno Johor dan MykmuJohor.com di sini.
Dr Mahathir berharap siasatan terhadapnya tidak akan ditamatkan di atas alasan tiada kes.
"Jikalau begitu saya tiada peluang untuk menerangkan apa yang berlaku.
Sebaliknya jikalau didakwa di mahkamah, maka saya dapat menerangkan apa yang saya lakukan dan apa yang orang lain termasuk hakim telah lakukan di dalam perkara lobi.
“Saya hendak cerita berkenaan hakim-hakim yang melobi saya. Jikalau melobi adalah salah, maka hakim-hakim ini sepatutnya disiasat,” kata bekas perdana menteri itu.
Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai arahan Kabinet semalam supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja itu, yang menyiasat klip video yang mengandungi perbualan Lingam, seorang peguam kanan dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.
Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, dua bekas ketua hakim negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin, serta Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata beliau tidak menyangka mereka yang melobi itu melakukan perkara yang salah, kerana sepanjang menjadi perdana menteri, banyak pihak yang melobinya, baik untuk jawatan menteri, timbalan menteri dan jawatan-jawatan di dalam kerajaan.
Bagaimanapun kata bekas perdana menteri itu, keputusan yang dibuatnya tentang sesuatu pelantikan termasuk hakim-hakim adalah berdasarkan kepada penilaiannya sendiri.
“Keputusan saya adalah berdasarkan penilaian saya. Saya tidak peduli siapa lobi, siapa cerita, kalau saya putuskan orang itu patut dilantik, saya akan lantik.
Jikalau tak patut dilantik, walau dicadang oleh hakim, saya tidak akan lantik.
“Saya bukan posmen, bila Ketua Hakim cadang saya pun kata lulus dan pergi ke Yang di-Pertuan Agong dan baginda lulus. Kalau macam itu, lebih baik kata pelantikan Ketua Hakim harus diputuskan oleh Ketua Hakim, jadi saya tiada peranan langsung. Saya tidak mahu jadi posmen,” kata Dr Mahathir.
Beliau juga ditanya cadangan Suruhanjaya Diraja agar siasatan turut dilakukan terhadap Vincent Tan dan Tengku Adnan.
Dr Mahathir berkata beliau tidak mengetahui peranan mereka kerana mereka tidak pernah melobi dengannya.
“Sesiapa sahaja boleh memberi pandangan tentang pelantikan sesiapa, Perdana Menteri atau bakal Timbalan Perdana Menteri,” menurutnya sambil menambah, sistem pelantikan hakim sedia ada adalah baik.
“Apa yang menjadikan sistem itu tidak berjalan dengan baik adalah manusia,” katanya.
Forum itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang, termasuk anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, bekas ketua pengarang kumpulan New Strait Times Datuk A.Kadir Jasin, bekas anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad yang menjadi anggota penal majlis tersebut.
— BERNAMA
Sumber: Saya sedia disiasat, didakwa di mahkamah - Mahathir, Utusan Online 17/05/2008 7:40pm
Ketuanan Melayu
Saya terkejut kerana ada yang berkata saya tidak pun tahu adanya http://www.chedet.com/. Saya tahu walaupun website itu disediakan oleh orang yang cekap dalam usaha ini, tetapi mereka membuat atas arahan saya.
Saya tulis sendiri segala yang terdapat di dalam blog ini. Saya juga tulis sendiri semua ucapan dan rencana yang saya sampaikan. Saya tak dapat baca semua komen terhadap blog saya. Tetapi saya cuba.
Saya realist yang pegang kepada kenyataan. Memang Melayu menjadi Tuan dalam Tanah Melayu dahulu.
Tetapi kerana Melayu tidak berusaha melawan penjajah maka di zaman Tanah Melayu dijajah yang jadi “Tuan” dan yang dipanggil “Tuan” oleh orang Melayu sendiri ialah penjajah terutama British.
Kita boleh panggil diri kita “Tuan” tetapi jika kita terpaksa bergantung kepada orang lain dan kita menjadi kuli kepada mereka, memanggil diri kita Tuan tidak bermakna.
Dalam 50 tahun kita merdeka, kuasa politik ada pada kita. Ini membolehkan kita panggil diri kita “Tuan”. Tetapi kita tidak Tuan sepenuhnya.Kita boleh jadi Tuan dengan ertikata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga. Ini boleh dihasilkan jika kita sanggup tuntut ilmu dan segala kemahiran dizaman teknologi tinggi. Tetapi kita amat kurang berusaha kearah ini. Kita lebih suka cari jalan mudah. Biar sahaja orang bekal segala-galanya kepada kita.
Hari ini kuasa politik pun sudah terlepas dari tangan orang Melayu. Dan orang bukan Melayu tidak lagi menghormati orang Melayu dan institusi-institusi Melayu. Segala-gala yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka.
Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu. Tetapi ini adalah usaha “passing the buck” kata Mat Salleh, termasuk alasan bahawa semua ini adalah kerana Dr Mahathir yang memerintah 22 tahun dan pilih Dato’ Seri Abdullah sebagai penggantinya.
Nasib orang Melayu ada ditangan orang Melayu. Kita tidak jadi “Tuan” dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi “Tuan” jika kita berani bertindak, kita sanggup menghadapi risiko, kita berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.
Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu barulah dapat kita tebus balik maruah kita.
Ketika itu tanpa memanggil diri kita “Tuan” dunia akan iktiraf kita sebagai Tuan yang sebenar.
Sumber: Ketuanan Melayu oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat, 16 Mei, 2008
Kepimpinan UMNO masih "in denial"
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Saya ucapkan terimakasih kepada pelawat chedet.com terutama pembahas-pembahas yang telah memberikan pandangan serta komentar mereka terhadap penulisan saya.
Saya telah siarkan hampir semua komentar yang dihantar. Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada semua pelawat yang saya terima semua komentar dan akan siarkan kesemuanya kecuali yang mengandungi bahasa kesat. Marilah kita sama-sama menjaga tatatertib di dalam blog ini.
Saya juga akan memberi maklum balas kepada isu-isu yang saya rasakan perlu dan meminta maaf kerana tidak mungkin akan dapat memberi jawapan kepada semua soalan yang ditujukan pada satu posting.
Berkenaan dengan penulisan saya yang sebelumnya, saya kurang faham akan teguran Alex Yap mengapa saya tidak sebut Tan Cheng Lock, pemimpin MCA dan pemimpin-pemimpin lain yang telah berjuang untuk kemerdekaan.
Saya bukan bincang berkenaan dengan perjuangan untuk kemerdekaan. Saya juga bukan bincang berkenaan dengan MCA ataupun Perikatan dan Barisan Nasional.
Saya bincang berkenaan UMNO dan pemimpinnya di waktu tertentu. Di waktu melawan Malayan Union, pemimpin tertinggi UMNO ialah Dato Onn Jaafar. Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, V.T. Sambanthan bukan pemimpin UMNO.
Semasa perjuangan untuk kemerdekaan pemimpin UMNO ialah Tunku Abdul Rahman. Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan bukan pemimpin UMNO. Demikian pembangunan Malaysia yang pesat berlaku semasa kepimpinan UMNO melibatkan tiga orang Presiden UMNO.
Jika saya bincang berkenaan Perikatan dan Barisan Nasional saya perlu sebut pemimpin-pemimpin Perikatan dan Barisan Nasional. Tetapi tumpuan saya terhad kepada UMNO dan pemimpinnya.
Demikian prestasi buruk UMNO pada 2008 perlu dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin UMNO. Ia tidak boleh dipersalahkan kepada pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti komponen Barisan Nasional. Jika saya bincang berkenaan prestasi buruk Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 maka barulah saya perlu sebut nama pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional.
Ada pendapat di kalangan pemimpin dan sebahagian ahli UMNO bahawa apa yang perlu dibuat sekarang ialah bersatu padu dan memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Masalahnya kekalahan UMNO disebabkan oleh Dato Seri Abdullah sendiri. Dia mendapat sokongan padu UMNO pada 2004. Sepatutnya sokongan ini ditunjuk dalam Pilihanraya Umum 2008. Tetapi dalam jangka masa 2004-2008, orang ramai dan ahli-ahli UMNO sendiri melihat keburukan Kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah seperti yang disebut di dalam blog saya dan mereka mahu Dato Seri Abdullah berhenti daripada menjadi Perdana Menteri.
Sekarang ini ramai yang secara terbuka menyatakan hasrat mereka untuk Dato Seri Abdullah meletak jawatan.
Bagaimanakah boleh ada pendapat bahawa Dato Seri Abdullah patut diperkuatkan melalui sokongan padu kepadanya sedangkan hasrat dan tujuan sebahagian ahli UMNO mengundi parti lawan ialah untuk menentukan Dato Seri Abdullah letak jawatan.
Ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional yang telah mengundi parti lawan hanya akan kembali kepada UMNO dan BN jika hasrat mereka tercapai – iaitu Dato Seri Abdullah tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Jika hasrat mereka tidak tercapai besar kemungkinan mereka kekal sebagai penyokong parti lawan. Dengan itu penyokong dan ahli UMNO akan terus berkurangan dan UMNO serta Barisan Nasional akan terus lemah.
Inilah mesej sebenar dari Pilihanraya Umum ke-12. Jika kepimpinan UMNO masih tidak faham, masih “in denial” pemulihan UMNO dan BN tidak akan dapat dilaksanakan dan UMNO serta BN akan kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13. Akan tamatlah riwayat UMNO.
Kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia”. Tetapi apakah jenis Melayu yang tak hilang ini? Apakah yang tinggal ini Melayu yang dihina dan diperhambakan, Melayu yang meminta-minta daripada orang lain, Melayu yang tidak berkuasa di negara sendiri?
Sama-samalah kita renungkan.
Sumber: Kepimpinan UMNO masih "in denial" oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis, 15 Mei, 2008
UMNO – 62 Tahun
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Pada 11hb Mei 2008, UMNO mencecah usia 62 tahun. Ditubuhkan sebagai parti yang demokratik UMNO telah mencapai kejayaan demi kejayaan.
UMNO dibawah pimpinan Dato Onn Jaafar telah menewas rancangan Malayan Union, British.
UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra telah berjaya merebut kemerdekaan daripada British.
UMNO dibawah tiga Perdana Menteri yang berikut telah berjaya menstabilkan negara dan membangunkannya sehingga menjadi negara contoh kepada negara=negara membangun yang lain.
Kepimpinan parti campuran (Perikatan dan Barisan Nasional) oleh UMNO memperolehi kemenangan dua-pertiga tiap pilihanraya Parlimen melainkan pada 1969. Kerajaan Malaysia yang didirikan semuanya kuat dan dihormati di dalam dan di luar negeri.
Tetapi dalam pilihanraya 2008 Barisan Nasional di bawah pimpinan UMNO kalah di lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan tidak mendapat dua-pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada ulangtahun ke-62 UMNO dilahirkan ahli-ahli dan pemimpin bawahan UMNO perlu memikirkan tentang keadaan parti pada hari ini. Bolehkah mereka gembira dengan prestasi UMNO sekarang? Bolehkah mereka percaya mereka masih kuat dan relevan seperti dahulu?
Pengasas UMNO memilih sistem demokrasi untuk parti kerana mereka percaya jika pemimpin UMNO menyeleweng, ahli boleh dengan hanya mengundi menukar pemimpin dan memulihkan keadaan.
Malangnya undi perwakilan UMNO boleh dibeli, justeru itu ia tidak dapat menjamin kepimpinan yang dipilih adalah cekap dan baik.
Percubaan dibuat supaya sistem pemilihan tidak mudah disalahguna. Dengan adanya sistem kuota, calon perlu mendapat pencalonan yang besar sebelum dapat bertanding. Sogokan kepada jumlah yang besar dipercayai sukar dilakukan.
Hari ini sistem kuota ini disalahgunakan dengan cara lain. Kali ini yang menyalahgunakannya ialah pemimpin besar UMNO sendiri. Kerana kuasa yang ada padanya, pemimpin besar dapat menghalang ahli melalui pelbagai cara supaya tidak mungkin mencalon selain darinya dengan cukup bilang untuk bertanding.
Ini boleh dilakukan kerana perwakilan ke Mesyuarat Agong UMNO termasuk pemimpin bahagian lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada perjuangan parti, perjuangan agama, bangsa dan negara.
Hari ini yang sanggup disogok akan mendapat sesuatu bagi diri mereka. Jika cara ini berterusan dua perkara boleh berlaku;
1) Wakil Rakyat dan Kerajaan akan dimiliki oleh orang yang sogok mereka. Mereka akan bekerja untuk orang ini dan bukan untuk UMNO dan perjuangannya.
2) Pengundi biasa dalam Pilihanraya akan menolak calon dari parti UMNO dan BN dan dengan itu parti lawan akan mengganti BN sebagai Kerajaan. Pada masa itu ahli biasa, pemimpin kecil dan besar, bahkan yang bakal menjadi Perdana Menteri pun tidak lagi akan mendapat apa-apa bagi diri mereka. UMNO akan menjadi tidak relevan dan akan hancur bersama parti-parti sekutunya. Contohnya dapat kita lihat sekarang. Gerakan, MIC ditolak oleh rakyat.
Sejarah akan kutuk orang yang menghancurkan UMNO. Mereka akan dianggap sebagai pengkhianat kepadanya, pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Sudah tentu orang Melayu yang akan kembali menjadi bangsa yang dihina dan dijajah dengan duit akan kutuk orang yang menyebabkan kecelakaan menimpa kaum bangsa mereka.
Pemimpin UMNO, terutama yang tertinggi yang memimpin parti ke arah kecelakaan ini akan dianggap pengkhianat yang terkutuk. Mereka yang turut sama kerana ingin mendapat sesuatu bagi diri sendiri juga akan dikutuk.
Inilah hasilnya apabila pemimpin dan ahli UMNO sudah lupa akan tanggungjawab mereka terhadap parti, terhadap bangsa, agama dan tanahair, tetapi sebaliknya menjadi tamak untuk mengisi temolok diri sendiri sahaja. Na'uzubillah
Sumber: UMNO – 62 Tahun oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa, 13 Mei, 2008
Cari jalan tambah bekalan makanan
SHAH ALAM 11 Mei - Kerajaan diminta tidak menggunakan mekanisme harga dan meningkatkan subsidi bagi menangani krisis bekalan makanan ketika ini, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan perlu melakukan kajian secara menyeluruh mengurangkan beban rakyat dengan berusaha mencari jalan bagi menambahkan bekalan makanan untuk menampung keperluan mereka.
Menurutnya, jika kerajaan hanya memberi penumpuan untuk menurunkan harga bekalan makanan dengan meningkatkan subsidi, ia dilihat tidak menyelesaikan masalah itu secara total.
Jelas beliau, usaha berkenaan tidak akan memberi kesan kepada peningkatan harga makanan termasuk beras.
''Kalau bekalan makanan itu memang tidak cukup, harganya akan tetap di situ (kekal tinggi) juga, walaupun kerajaan menurunkan harga atau menambah subsidi.
''Oleh itu, kerajaan tidak harus buat pengumuman popular (menurunkan harga dan menambah subsidi) tetapi membuat kajian sebaik-baiknya untuk menyelesaikan masalah ini dengan menambah bekalan makanan dalam negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel sempena Forum Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Dasar Pandang Ke Timur di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas pengumuman kerajaan semalam mengenai kemungkinan akan menambah subsidi sebanyak RM45 bilion pada tahun ini bagi mengurangkan beban rakyat sekiranya krisis makanan dan harga minyak petroleum di pasaran dunia berlarutan.
Jumlah itu melebihi RM5 bilion peruntukan pembangunan negara bagi tahun 2008 untuk menyelesaikan masalah krisis berkenaan yang dihadapi oleh rakyat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan, setakat ini, Malaysia masih mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan kerajaan tidak akan berdiam diri selain terus memantau perkara itu supaya negara tidak terjerumus ke dalam dua krisis berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut memberitahu, dasar kerajaan yang memberi tumpuan untuk memajukan sektor pertanian negara dilihat dapat mengurangkan masalah krisis makanan ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, penumpuan terhadap sektor utama itu dijangka menimbulkan masalah lain termasuk pengangguran kerana sektor berkenaan sebenarnya tidak menjana kepada peluang pekerjaan untuk rakyat.
Sebaliknya, kerajaan perlu memberi tumpuan yang seimbang dengan industri kerana hanya sektor industri akan memberi manfaat kepada pertambahan peluang pekerjaan untuk jangka masa panjang.
''Sebidang tanah untuk tujuan pertanian, ia dapat menyokong seorang petani. Sekiranya sebidang tanah digunakan untuk bina kilang, paling kurang, ia mampu memberi 500 peluang kerja kepada rakyat.
''Oleh itu, kerajaan perlu menseimbangkan sektor ini. Pada masa saya dahulu (jadi Perdana Menteri), saya tak abaikan pertanian, tetapi saya beri tumpuan kepada industri kerana sektor ini wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat,'' katanya.
Antara ahli panel dalam forum anjuran Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) itu ialah Profesor Diraja Ungku Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.
Sumber: Cari jalan tambah bekalan makanan - Dr. Mahathir, Utusan OnlineKegagalan Barisan Nasional
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
1. Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri telah menyalahkan semua orang kecuali dirinya sebagai penyebab prestasi Barisan Nasional yang buruk pada Pilihanraya Umum ke-12.
2. Dia menyalahkan pengundi kerana kononnya tidak mahukan dia menang dua-pertiga majoriti; ahli Barisan Nasional kerana sabotaj, ahli UMNO di Kedah dan Perak juga kerana sabotaj, Tengku Razaleigh Hamzah kerana kekalahan Barisan Nasional di Kelantan dan saya sendiri kerana lantang mengkritik dirinya dan Kerajaan pimpinannya.
3. Apa yang dikatakan olehnya bukanlah semuanya salah. Ada banyak kebenaran di dalam apa yang dikatakan. Saya tahu ramai ahli UMNO yang mengundi pembangkang. Saya akui apa yang saya katakan mungkin pengaruhi sesetengah daripada mereka untuk lakukan apa yang tidak pernah terfikir oleh mereka.
4. Tetapi soalnya, kenapakah mereka berbuat demikian? Ahli UMNO selalunya amat setia terhadap parti mereka. Mereka tidak akan mengundi pembangkang, terutamanya PAS dan DAP. Tetapi di dalam Pilihanraya Umum 2008, mereka buat demikian. Bagaimana pembangkang boleh menang jika mereka tidak mendapat undi penyokong Barisan Nasional? Kekurangan jumlah undi pada calon Barisan Nasional hampir sama jumlahnya denganpeningkatan undi untuk parti pembangkang.
5. Selama 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum, ahli UMNO dan rakyat Malaysia secara purata tidak pernah gagal menyokong UMNO mahupun Perikatan/Barisan Nasional. Kecuali pada tahun 1969 apabila orang Cina tidak memberi sokongan mereka, Perikatan dan Barisan Nasional menang dua-pertiga majoriti tiap kali.
6. Tunku Abdul Rahman (kecuali Pilihanraya Umum tahun 1969), Tun Razak, Tun Hussein Onn, dan saya sendiri tidak pernah gagal menang lebih dua-pertiga majoriti. Sudah tentu kami tidak pernah menyalahkan ahli parti kerana sabotaj. Tetapi Dato Seri Abdullah mengakui bahawa dirinya telah disabotaj oleh ahli UMNO.
7. Ahli UMNO tidak mahu parti mereka kalah. Tetapi mereka rasakan perlu untuk hantar mesej kepada Dato Seri Abdullah dan konco-konconya yang hanya berminat untuk mengiakan setiap apa yang dia katakan. Mereka (ahli UMNO) tidak boleh meluahkan perasaan mereka kerana semua jalan telahpun tertutup. Perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO dipilih kerana mereka tidak akan mengkritik Presiden. Anak saya Mukhriz apabila menyatakan tidak ada benda baru yang disampaikan presiden parti dalam ucapan 2006 telah dipanggil oleh Jawatankuasa Pemuda, dimarahi dan diarah untuk memilih antara bapanya dan Presiden.
8. Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet dipenuhi "Yes-Men" yang tidak pernah menyuarakan ketidakpuasan hati ahli UMNO di peringkat akar umbi. Ahli UMNO diugut tindakan disiplin jika mendengar ucapan sesiapa yang tidak mendapat restu atau kelulusan Presiden. Ini termasuk saya. Polis dan UMNO Negeri akan memanggil pihak yang menjemput saya dan diarah menarik balik jemputan mereka.
9. Apabila ahli UMNO tidak dapat menyuarakan pendapat sebenar mereka berkenaan Kerajaan, hanya terdapat satu cara sahaja bagi mereka untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka, iaitu dengan undi mereka dalam Pilihanraya Umum. Undi secara dasarnya adalah rahsia. Begitu takutnya pengundi UMNO ini akan orang lain mengetahui tentang niat mereka, maka mereka tidak mendedah kepada sesiapapun niat mereka untuk mengundi pembangkang. Begitulah sehinggakan tiada siapa dapat meramal dengan tepat peralihan sokongan yang besar yang berpihak kepada pembangkang.
10. Sesetengah ahli UMNO masih tidak sanggup mengundi pembangkang. Oleh itu mereka sengaja rosakkan undi mereka. Terdapat 300,000 undi rosak, satu angka yang mungkin terbesar dalam sejarah pilihanraya. Tak mungkin setelah 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum pengundi masih lagi tidak tahu bagaimana nak mengundi.
11. Mungkin kerana saya pengundi UMNO berbuat demikian. Saya telah menyeru ahli UMNO untuk mengundi calon yang terbaik dan bukan hanya parti. UMNO boleh meletakkan calon yang benar-benar baik tetapi walaupun Presiden memberi jaminan yang semua calon bersih dan berkelayakan, mereka kalah. Ini kerana calon tidak baik dan ini mengganti calon yang berjaya atau "giant killers" yang telah berjaya pada pilihanraya lalu. Kebanyakan calon payung terjun muda dan ahli UMNO marah kerana mereka syak calon muda ini dipilih oleh orang tertentu. Buatlah satu kajian untuk tentukan berapa ramai calon baru ini yang kalah.
12. Kepimpinan parti percaya yang ahli UMNO akan undi siapa sahaja yang dipilih oleh kepimpinan parti. Kepimpinan salah apabila memiliki pendapat ini.
13. Pengundi UMNO begitu sekali marah hinggakan mereka sanggup undi calon pembangkang yang bukan sahaja tidak layak dari segi akademik, tetapi tidakpun berpengalaman.
14, Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, terutamanya Dato Seri Abdullah patut terima kenyataan. Pengundi tidak menolak atau sabotaj Barisan Nasional tanpa sebab. Pada tahun 2004 pengundi belum lagi dapat menilai kepimpinan Dato Seri Abdullah. Jadi tidak ada sabotaj. Tetapi pada 2008 mereka telah dapat melihat siapa sebenarnya Dato Seri Abdullah. Dan mereka tidak suka apa yang mereka lihat.
15. Perkara pertama yang dilakukan selepas menjadi Perdana Menteri ialah untuk membawa masuk ahli keluarganya secara tidak rasmi ke dalam pentadbiran Kerajaan. Beliau boleh menafikannya tetapi orang ramai tahu akan kegiatan Khairy Jamaluddin dan Kamaluddin Abdullah serta konco-konconya termasuk budak-budak Tingkat Empat. Mereka sering turut serta dalam mesyuarat rasmi Kerajaan dan apabila Perdana Menteri mengadakan perjumpaan.
16. Kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO menaikkan kebencian ramai. Jika veteran parti dengan rekod perkhidmatan yang lama yang menang tanpa bertanding tidak ada sesiapa yang akan membantah. Tetapi Khairy berada dalam UMNO kurang dari lima tahun dan tidak pun mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di dalam UMNO. Bagaimana dia boleh menang tanpa bertanding?
17. Pengambilalihan Scomi oleh Kamaluddin timbulkan tandatanya. Seorang pemegang saham terbesar Scomi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia masih lagi ditahan. Pada waktu yang sama Scomi menang banyak kontrak yang melibatkan kelulusan Petronas.
18. Scomi juga telah mengambil-alih M-Trans baru-baru ini kerana sistem monorel telah dicadangkan untuk Pulau Pinang. Keputusan juga dijangka dibuat untuk meneruskan projek monorel Putrajaya.
19. Setelah berjanji ketelusan dan pengagihan kontrak melalui tender terbuka, Kerajaan terus memberi kontrak yang besar kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan selalunya sebelum Unit Perancang Ekonomi dapat membuat penilaian dan perancangan. Tidak ada tender. GLC ini tidak punyai kemampuan untuk menjalankan projek-projek ini. Ianya kemudian akan di sub-kontrak kepada kontraktor-kontraktor yang tiada sesiapa pun tahu. Dipercayai bahawa harga kontrak ditingkatkan melebihi harga jangkaan asal.
20. Kalimullah Masheerul Hassan dan ECM-Libra tiba-tiba menjadi begitu terkenal. Kalimullah mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Kerajaan. Sebuah syarikat Kerajaan yang besar, Avenue Assets digabungkan dengan ECM-Libra yang rendah nilai sahamnya. Tetapi nilai saham Avenue Assets sengaja diturunkan supaya ECM-Libra dapat menguasai syarikat gabungan ini.
21. Kalimullah juga berpengaruh kerana dianya adalah timbalan pengerusi eksekutif New Straits Times Press dan mempunyai suara yang besar di dalam bilik berita New Straits Times. Oleh itu Dato Seri Abdullah sentiasa dipaparkan dalam keadaan yang amat baik. Cerita yang menonjolkan Abdullah akan mendapat kelulusan untuk disebar meluas.
22. Malang bagi Abdullah, dia mula mempercayai cerita-cerita ini dan menyangka yang dia benar-benar popular. Oleh sebab itu dia telah mengadakan pilihanaya awal menyangkakan yang dia akan sapu bersih. Dia tidak menjangkakan yang pengundi menolak kepimpinannya. Tetapi dia masih lagi bertegas bahawa dia menang.
23. Di awal pemerintahannya dia memutuskan untuk tidak meneruskan apa yang dikatakan "mega projeck" yang saya sendiri telah mulakan. Itu haknya. Yang tidak betul dan apa yang membuatkan orang berfikir yang dia sebenarnya berdendam adalah cadangan yang mengatakan saya membuang duit ke atas banyak "pet" projek saya sehinggakan Kerajaan sudah tidak mempunyai wang untuk meneruskannya. Sebenarnya orang tahu bahawa projek-projek berkenaan amat diperlukan. Bayangkan Malaysia tanpa KLIA, Stesen Sentral, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, projek rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, monorel Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Litar lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain
24. Saya tidak akan sebutkan berkenaan perkara-perkara yang dilakukannya yang menyentuh diri saya dan umumnya tidak diketahui orang ramai. Ini kerana pengundi tidak mungkin dipengaruhi perkara ini.
25. Tetapi apa yang diketahui ialah reaksinya terhadap kritikan saya berkenaan APs (Approved Permits) dan keputusan untuk tidak membina jambatan bengkok di Johor. Dia dan menteri-menterinya menghina saya di khalayak ramai dan di satu ketika hendak melucutkan saya daripada keahlian parti. Datuk Seri Nazri Aziz terutamanya, amat biadap.
26. Rakyat juga tahu bahawa dia dan rakan-rakan Kabinetnya, yang kebanyakannya adalah lantikan saya amat tidak mengenang budi. Rakyat juga tahu bahawa jika bukan kerana saya Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri hari ini. Begitu juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan. Sekarang mereka menentang saya dan menghina saya dengan cara yang amat tidak sopan. Saya tidak tersinggung kerana ini tetapi saya fikir orang ramai anggap perangai sebegini amat buruk.
27. Ketakutan yang Abdullah semaikan dalam diri Menteri-Menterinya, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kepimpinan UMNO yang lain begitu hebat sekali sehinggakan tiada yang sanggup berdiri mempertahankan saya ataupun untuk mempertikaikan apa yang Abdullah dan rakan-rakannya kata..
28. Jika Singapura tidak bersetuju untuk membina jambatan lurus melainkan pasir dijual kepadanya, kita sepatutnya boleh teruskan pembinaan jambatan bengkok kerana ianya tidak ada kena-mengena dengan Singapura. Tetapi kerana marahkan penolakan rakyat Johor terhadap usaha menjual pasir dan kebenaran bagi jet pejuang Singapura melintasi ruang udara Johor, Abdullah telah batalkan pembinaan jambatan bengkok. Kenapa?
29. Saya percaya ianya kerana 1 billion meter persegi pasir yang dia mahu jual kepada Singapura tetapi dibantah Johor. Ada orang yang akan mendapat untung hingaa satu bilion Ringgit dalam masa 20 tahun dari penjualan pasir. Singapura bersedia membeli pasir pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran kerana tanah yang ditambak akan dijual pada harga antara 3,000-5,000 dolar Singapura satu kaki persegi.
30. Bantahan Johor adalah kerana perlombongan pasir dasar laut akan menyebabkan hakisan pantai, kemusnahan kawasan pembiakan ikan dan akan menyebabkan nelayan Johor kehilangan kawasan menangkap ikan. Royalti yang akan dikutip Johor juga tidak terbanding dengan keuntungan yang diraih Singapura dengan mejual tanah tambak.
31. Terdapat beberapa perkara lain yang dilakukan Abdullah yang orang tidak suka. Ini termasuk isu pengeluaran AP, penjualan MV Agusta, masalah bangunan CIQ Johor Baru, pembatalan projek landasan berkembar dari Johor Baru ke Padang Besar, masjid kristal di Terengganu, Monsoon Cup, koridor-koridor serta pengubahsuaian Seri Perdana.
32. Banyak juga perkara yang tidak popular yang dilakukan Dato Seri Abdullah yang telah menyisihkan ahli serta pengundi UMNO dan Barisan Nasional secara umumnya. Jika ada sesiapa yang patut dipersalahkan kerana prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional, dianya adalah Dato Seri Abdullah sendiri. Ini adalah pendapat majoriti kebanyakan rakyat Malaysia. Jika mereka diberi kebebasan bercakap, inilah yang akan mereka katakan.
33. Walau bagaimana pun beliau menolak yang beliau adalah punca segala-galanya. Walau betapa ramai orang yang beliau salahkan, beliau tidak boleh menerangkan kenapa malapetaka yang melanda UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dan Barisan Nasional ini tidak pernah berlaku dibawah empat Perdana Menteri yang terdahulu, tetapi hanya berlaku dibawah pentadbirannya. Dia tidak boleh menerangkan kenapa berlaku sabotaj oleh ahli UMNO dan parti komponen pada tahun 2008 sedangkan sebelum ini mereka amat setia dan tidak pernah gagal memberi Perikatan dan Barisan Nasional kemenangan dua-pertiga majoriti di Parlimen dan kemenangan di hampir semua negeri-negeri.
34. Jika Dato Seri Abdullah berdegil tidak mahu mengundur diri dan jika dia cuba untuk mengenepikan usaha peralihan kuasa sebelum Pilihanraya Umum akan datang, pengundi serta ahli parti yang meluat dengannya akan tentukan Barisan Nasional dikalahkan di peringkat Pusat dan Negeri sebagai satu cara untuk menyingkir beliau dan mengakhiri tempohnya sebagai Perdana Menteri.
35. DAP dan PAS akan tentukan Dato Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri hingga Pilihanraya Umum seterusnya kerana serupa seperti 2008, pengundi Barisan Nasional yang menyampah dengan BN akan meyokong pembangkang. Kemarahan Karpal Singh terhadap serangan saya ke atas Dato Seri Abdullah ialah kerana saya mungkin menyebabkan Dato Seri Abdullah undur diri. Dengan ini DAP dan parti pembangkang yang lain akan kehilangan satu orang yang tentunya akan menolong mereka menang. Ini akan menjadi realiti sekiranya PAS dan DAP berjaya mediri Kerajaan yang baik bagi Negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.
36. Apabila ini terjadi maka tidak akan ada apa-apa lagi harapan bagi UMNO untuk kembali berkuasa.
37. Seperti yang saya katakan, saya mengaku bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi UMNO dan Barisan Nasional. Sebabnya ialah jika Dato Seri Abdullah menang besar beliau akan terus mengabaikan objektifnya untuk UMNO dan untuk kesejahteraan Malaysia.
38. Saya akan anggap diri saya sebagai pengkhianat bangsa jika saya biarkan ini berlaku. Dan mereka yang terus menerus mengampu Dato Seri Abdullah akan menjadi pengkhianat negara, bangsa dan orang Melayu serta agama mereka juga.
39. Akhirnya, analisa menunjukkan yang bertanggunjawab bagi kekalahan yang dialami Barisan Nasional ialah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia mahu menebus dirinya dan bantu pulihkan UMNO dan BN dia harus meletak jawatan dan biarkan kerja-kerja pemulihan dijalankan oleh pihak lain. Selagi dia terus kekal Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia, pemulihan adalah mustahil.
Artikel ini yang penulisan asalnya di dalam Bahasa Inggeris telah disiarkan akhbar The Sun pada keluaran 9hb Mei, 2008
Sumber: Kegagalan Barisan Nasional oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Isnin, 12 Mei, 2008
Bayaran Ex-Gratia
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mengambil keputusan untuk membuat bayaran ex-gratia kepada beberapa orang hakim.
Jelas sekali kerajaan berasa bersalah terhadap apa yang berlaku kepada hakim-hakim ini dan merasakan perlu untuk menebus kesalahan itu, tetapi tidaklah sampai ke tahap meminta maaf seperti yang dicadangkan Menteri yang dipertanggungjawabkan ke atas hal-ehwal undang-undang Dato Zaid Ibrahim.
Jika laporan akhbar hendak dipercayai, Kabinet telah menolak cadangan Menteri Undang-Undang yang baru. Tiada keputusan yang debuat berkenaan bayaran ex-gratia.
Tetapi Majlis Peguam telah mengadakan satu acara makan malam yang menurut khabar angin, ianya dibiayai pihak Kerajaan, di mana Perdana Menteri telah mengumumkan dua perkara yang sudah tentu menggembirakan sebilangan ahli Majlis Peguam.
Pengumuman tersebut adalah;
1) Suruhanjaya untuk melantik hakim
2) Bayaran ex-Gratia kepada Tun Salleh Abbas dan enam hakim yang telah cuba menggagalkan tribunal yang pertama
Saya tidak akan huraikan kes Tun Salleh Abbas sehingga satu masa lain. Tetapi di dalam blog saya ini ada yang bertanyakan samada pembayaran ex-Gratia tersebut boleh dianggap sebagai menghina Tribunal.
Saya bukan peguam, jadi saya tidak boleh kata dengan muktamad samada ianya menghina atau tidak, tetapi saya juga faham bahawa undang-undang dan prosidur yang bersangkutan dengan mahkamah tidak semestinya boleh digunapakai oleh Tribunal. Jadi mungkin ianya tidak sampai ke tahap menghina.
Hakikatnya bayaran menunjukkan yang Kerajaan tidak begitu setuju dengan keputusan Tribunal, walaupun Tribunal tersebut ditubuhkan mengikut prosidur. Mungkin juga kerana faktor prihatin atau mungkin kerana hakim-hakim tersebut mengalami kerugian kewangan berikutan keputusan Tribunal.
Saya ingin nyatakan, dan jika saya bersalah maka saya perlu diperbetulkan, bahawa setelah mendengar rayuan Peguam Negara, saya bersetuju bahawa semua hakim-hakim tersebut dibayar pencen penuh.
Sekali lagi, jika tak silap saya, Tun Salleh Abbas berhak dan telahpun menerima dua pencen, satu setelah umurnya sampai ke tahap persaraan wajib (waktu itu) pada umur 55 dan satu lagi setelah tamat tempoh khidmatnya sebagai Ketua Hakim Negara setelah beliau dipecat.
Sebagai bekas Wakil rakyat juga beliau menerima pencen.
Hakim-hakim yang lain juga dibayar pencen mereka dan dimana mereka layak mengikut skim pencen Kerajaan Malaysia, mereka juga menerima dua pencen.
Mungkin saya patut sebut yang saya tidaklah bernasib baik seperti mereka kerana saya tidak mendapat pencen semasa mencapai umur 55 tahun. Sebaliknya, hanya menerima pencen setelah bersara pada tahun 2003 pada umur 78 tahun.
Saya sebutkan ini hanya sebagai perbandingan. Bukanlah saya hendak menuntut bayaran pencen, ex-Gratia ataupun apa jua bayaran daripada kerajaan bagi diri saya setelah mencapai tahap umur persaraan wajib pada 65-tahun.
Saya juga ingin menyebut bahawa di dalam laporan akhbar hari ini, sebagai penasihat Petronas saya dibayar RM15,000 sebulan, bukan oleh Kerajaan tetapi oleh Petronas. Saya ingin nyatakan yang pendapatan ini tidak seperti pencen, tidaklah bebas cukai dan sebanyak RM4,500 ditolak setiap bulan.
Sebagai Penasihat Proton, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) and dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman saya tidak mendapat apa-apa bayaran, dan saya pun tidak menuntut apa-apa bayaran. Jika dirasakan yang Kerajaan ini tidak mampu untuk membayar elaun tersebut, maka Kerajaan bolehlah menghentikan bayaran. Saya akan tetap berkhidmat walaupun tidak dibayar apa-apa.
Sumber: Ex-Gratia Payment Oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat, 9 Mei, 2008
Situasi BN sekarang berbahaya
PUTRAJAYA 7 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Barisan Nasional (BN) mengambil serius tentang kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada mulanya beliau mengabaikan tentang kemungkinan tersebut tetapi setelah meneliti situasi yang ada, keadaan sekarang begitu berbahaya.
''Saya fikir ini ada kemungkinan (pertukaran kerajaan) yang tidak boleh kita abaikan.
''Pada masa ini, ahli-ahli politik menunjukkan minat tentang berapa banyak yang boleh mereka peroleh dan mereka tidak betul-betul berminat untuk berkhidmat kepada negara,'' katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, desakan untuk melompat parti timbul apabila tidak wujud lagi kesetiaan kepada parti dan sesetengah pihak yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa sekarang mempunyai peluang mendapat jawatan penting dalam kerajaan baru.
Ditanya adakah perkara tersebut dirasakan satu kebimbangan besar baginya, beliau berkata, sekiranya tindakan lompat parti itu berlaku, negara ini akan mengalami lebih banyak konflik.
Mengenai ahli-ahli Parlimen yang mungkin melompat parti, Dr. Mahathir berkata, UMNO dan parti komponen utama dalam BN seperti MIC dan MCA mempunyai akar umbinya di Semenanjung tetapi keadaan berbeza di Sabah dan Sarawak.
''Walaupun UMNO ada di Sabah, ia tidak sama di sini (Semenanjung), mereka pernah ada USNO dan Pairin Kitingan dulu juga pernah mendapat sokongan daripada orang-orang ini.
''Jadi, bolehkah kita yakin yang mereka akan terus memberikan kesetiaan yang kuat kepada UMNO, saya tidak fikir begitu,'' katanya.
Malah, beliau berkata, terdapat beberapa ahli Parlimen di Semenanjung yang jika mereka fikir boleh mendapat sesuatu daripada kerajaan baru, kumpulan tersebut juga bersedia melompat parti.
''Ini terutama apabila dirasakan jika berbuat demikian, mereka akan dapat terus berada dalam kerajaan,'' katanya.
Kata beliau, keadaan tersebut berbeza berbanding dahulu ketika BN memiliki majoriti lebih dua pertiga.
Katanya, ketika itu tidak timbul masalah kemungkinan ahli-ahli Parlimen melompat parti kerana BN dan jika terdapat parti komponen berpaling tadah sekali pun, mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan.
''Berbeza sekarang apabila melompat dan sertai kerajaan lain, mereka tidak akan mengalami apa-apa kerugian malah boleh mewujudkan permainan politik,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir membidas larangan kepada bahagian UMNO untuk mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) dan menyifatkannya ia sebagai suatu yang tidak demokratik.
''Itulah UMNO yang ada sekarang, ini bukan UMNO yang sebenar (berbeza), pada zaman saya dahulu UMNO melaksanakan kempen untuk menentang saya tetapi mereka tidak dihalang.
''Sekarang kita tidak boleh bercakap tentang apa yang kerajaan tidak suka,'' katanya.
Sambil memberikan contoh, Dr. Mahathir berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau ada menyatakan hasrat ingin bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu-isu semasa atas rasa keprihatinannya tentang apa yang berlaku dalam UMNO.
''Dia (Najib) kata dia akan datang jumpa saya tetapi perlu mendapat kebenaran dahulu daripada Perdana Menteri. Rupanya dia tidak mendapat kebenaran, jadi, sampai sekarang dia tidak berjumpa saya
''Ini sungguh teruk apabila Perdana Menteri tidak mempercayai timbalannya. Pada zaman saya, saya mempercayai timbalan saya sehinggalah dia melakukan sesuatu yang pelik,'' katanya.
Menurut Dr. Mahathir, UMNO perlu membenarkan EGM di bahagian-bahagian bagi membolehkan ahli-ahli parti membuat perubahan ke atas peraturan kuota 30 peratus bagi membolehkan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti dilaksanakan.
''Jika tidak dapat mengubah syarat kuota tersebut, dengan sikap ketua-ketua bahagian sekarang, tidak ada satu bahagian pun yang akan mencalonkan orang lain kecuali Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).
''Jadi, jika tidak ada 60 bahagian UMNO yang mencalonkan sesiapa kecuali Pak Lah, maka pada Disember ini, beliau akan menang tanpa bertanding... (kerana) orang sungguh takut dan amalan cium tangan telah bermula,'' katanya.
Sumber: 'Situasi BN sekarang berbahaya', Utusan Online
Kerajaan yang lemah tidak baik bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Saya ucapkan terimakasih kepada pelawat yang sudi melayari chedet.com. Saya minta maaf kerana tidak berkesempatan mengeluarkan artikel baru buat masa ini.
Tetapi sebagai menyahut permintaan pembaca, saya telah mengalih bahasa penulisan yang sebelumnya untuk paparan kali ini, sementara saya sediakan artikel yang baru.
Saya akan cuba menulis sekerap mungkin. Dua artikel pertama sebelum ini telah ditulis di dalam bahasa Inggeris. Saya akan tulis di dalam kedua-dua bahasa, Malaysia dan Inggeris, mengikut kesesuaian.
Saya mengalu-alukan maklumbalas pembaca sebagai cara untuk mengetahui pendapat yang berlainan daripada pendapat saya sendiri.
Saya minta maaf kerana tidak mungkin dapat menjawab semua pertanyaan yang diajukan. Bagaimanapun, di dalam penulisan saya yang selanjutnya saya akan cuba menjawab sedikit-sebanyak soalan-soalan yang diajukan.
Sekali lagi saya ingin mengingatkan pelayar web chedet.com supaya kita sama-sama menjaga etika dan mengambil sikap bertanggunjawab serta bertata-tertib dengan tidak menggunakan perkataan kesat di dalam ruang komentar.
Saya terima kritikan dan saya siarkan komen pengkritik-pengkritik yang tidak setuju dengan saya, tetapi saya tidak boleh siarkan kritikan yang mengandungi perkataan-perkataan yang kesat dan kurang sopan samada terhadap saya mahupun terhadap orang lain.
Saya harap semua pelayar laman web ini dapat menghormati permintaan saya ini. Saya mengalu-alukan semua pengunjung dan mengucapkan selamat melayari chedet.com.
Berkenaan dengan rencana saya tentang pelantikan hakim, ramai tidak setuju dengan pendapat saya bahawa apabila Kerajaan terpaksa berkerjasama dengan pembangkang ianya menunjuk kelemahan Kerajaan dan pendapat saya bahawa pembangkang adalah musuh.
Dari segi politik, pihak pembangkang adalah musuh. Terpaksa bekerja dengan pembangkang bukanlah tidak demokratik, tetapi menampilkan kelemahan Kerajaan.
Kerajaan yang lemah tidak baik bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Ianya hanya akan mengundang ugutan terhadap kuasa kerajaan. Kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Jika Kerajaan tidak tegas dan terpaksa berdolak-dalik, akan timbul masalah kurang keyakinan terhadap Kerajaan. Ini akan menyebabkan polisi dan projek tidak dapat diimplimentasi dengan lancar. Mungkin ada orang yang sudah sedar akan keadaan ini.
Kerajaan yang tidak memerlukan sokongan pembangkang akan lebih berjaya menempuh kritikan dan bangkangan yang semua Kerajaan harus hadapi. Tetapi Kerajaan juga haruslah mengambil maklum terhadap teguran yang dibuat pembangkang dan jika perlu mengambil tindakan berdasarkan teguran tersebut.
Di dalam konteks hari ini, Kerajaan Persekutuan tidak berdaya untuk membawa apa-apa perubahan kepada perlembagaan dan akan terpaksa menghadapi ugutan sepanjang masa. Sokongan pembangkang mungkin bersyarat dan kredit akan diberi kepada mereka.
Salah satu kepentingan memperolehi dua-pertiga majoriti di Parlimen ialah kerana tidak akan timbul masalah lompat parti oleh mana-mana ahli Kerajaan. Sekarang kita dengar tentang masalah ini hampir setiap hari. Kepimpinan Barisan Nasional kini bagai cacing kepanasan. Dan cacing yang kepanasan tidak boleh mencapai apa-apa pun.
Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak pernah gagal mendapat dua-pertiga majoriti Parlimen. Sebagai ukuran kekuatan, majoriti dua-pertiga membenarkan Kerajaan membuat apa sahaja keputusan yang difikirkan baik tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak lain.
Mungkin juga cadangan untuk meminta sokongan atau kerjasama dibuat dengan ikhlas di atas semangat demokrasi. Persoalannya kenapa sekarang? Kenapa tidak apabila Kerajaan memperoleh majoriti 90 peratus selepas Pilihanraya Umum 2004? Perubahan kepada cara hakim-hakim dipilih sepatutnya boleh dilakukan selepas kejayaan cemerlang 2004.
Saya berpendapat bahawa negara ini memerlukan satu Kerajaan Persekutuan yang kuat dan tidak perlu bergantung kepada mana-mana pihak, yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara tanpa perlu rasa takut atau ragu-ragu.
Tetapi saya juga berpendapat akan perlunya pembangkang yang kuat. Ini adalah untuk memastikan yang Kerajaan tidak menyimpang daripada landasan sebenar, ataupun menyalahguna kuasanya.
Gandingan pihak Kerajaan yang kuat dan pembangkang yang mempunyai kekuatan serta keinginan untuk memantau penyalahgunaan kuasa Kerajaan akan membawa kebaikan bagi Malaysia.
Berkenaan cadangan Kerajaan menubuhkan suruhanjaya kehakiman, adakah ini kerana ianya bagus ataupun tindakan tergesa-gesa untuk memenangi sokongan yang hilang?
Berkenaan kritikan saya terhadap kepimpinan Kerajaan sekarang, saya percaya saya mempunyai hak berbuat demikian. Berhenti daripada Kerajaan hanya bermakna menyerahkan kuasa dan kekuatan. Tetapi ianya tidak bermakna saya harus menyerahkan hak kerakyatan saya. Saya mempunyai hak untuk mengambil berat terhadap pentadbiran tunggang terbalik negara ini dan juga parti yang saya tolong pulihkan pada tahun 1987.
Parti ini bukan kepunyaan Dato Seri Abdullah. Ianya bukan untuk menyokong beliau sebagai pemimpin lebih-lebih lagi setelah salah percaturan di dalam pentadbiran serta pilihanraya umum baru-baru ini. Parti juga bukan kepunyaan saya. Ianya adalah kepunyaan semua ahlinya. Buat masa ini ahli parti tidak dibenar mengkritik. Mereka hanya boleh mengiakan apa sahaja yang Dato Seri Abdullah kata atau lakukan.
Memandang yang pihak pembangkang juga menyokong Dato Seri Abdullah, jika saya tidak mengkritik, tidak ada sesiapa yang akan berbuat demikian. Dan tanpa kritikan, Kerajaan dan Dato Seri Abdullah sudah tentu akan menyimpang.
Sumber: Kerajaan yang lemah tidak baik bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu, 7 Mei, 2008
Perlantikan Para Hakim
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa hakim-hakim akan dipilih oleh satu Suruhanjaya yang ditubuhkan khas untuk tujuan ini
2. Tiada sebarang perincian yang boleh diketahui umum tentang cara Suruhanjaya tersebut bekerja.
3. Adakah Suruhanjaya tersebut yang sebenarnya melantik hakim-hakim atau cuma mengsyorkan nama-nama kepada PM untuk kelulusan atau adakah Suruhanjaya tersebut mengsyorkan secara terus kepada Agong untuknya mengamalkan hak-haknya? Atau adakah Agong memerlukan pengesahan daripada Sidang Pemerintah? Atau adakah Sidang Pemerintah hanya dirujuk seperti yang dilakukan sekarang? Atau adakah mereka boleh menolak calon, dan meminta calon-calon yang baru atau nama calon-calon yang baru pilihan mereka?
4. Adalah menarik untuk mengetahui prosedur-prosedur secara terperinci, disamping memberi penghargaan terhadap peranan PM.
5. Perlantikan hakim-hakim adalah termaktub dalam Perlembagaan. Jika sebarang perubahan ingin dilakukan dalam apa cara sekalipun, mereka mesti dianggap sebagai sedang melanggar/memungkiri Perlembagaan.
6. Untuk menjadikan sebarang perubahan adalah sah, Perlembagaan harus ditukar.
7. Seperti semua orang ketahui sebarang perubahan dalam Perlembagaan hanya boleh dilakukan sekiranya dua per tiga daripada semua ahli Parlimen dalam sesi bersetuju dengan sebarang perubahan yang diusulkan.
8. Kerajaan tidak mempunyai dua per tiga majoriti seperti yang diperlukan. Dengan itu, Kerajaan tidak boleh menukar cara hakim-hakim dipilih melainkan Kerajaan mendapat sokongan daripada Pembangkang dengan sekurang-kurangya sembilan undi.
9. Adakah Kerajaan bercadang untuk berkerjasama dengan Pembangkang dalam isu ini, dan seterusnya menunjukkan kelemahan Kerajaan? Adakah akan ada dasar balas-membalas sebagai suatu perjanjian dengan pembangkang? Adalah menarik untuk melihat bagaimana PM bercadang untuk menangani perkara ini.
Sumber: The Appointment of Judges oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis, 1 Mei, 2008


