Oleh Dr. mahathir Mohamad
Harga minyak mentah naik sebanyak 400 peratus sejak tiga tahun lepas. Lambat laun harga barangan juga akan alami kenaikan. Di negara-negara lain harga petrol sudahpun naik. Di United Kingdom satu liter petrol dijual pada kadar lebih satu pound sterling atau lebih kurang RM7. Di Amerika Syarikat harganya lebih kurang RM5.
Petunjuk bahawa harga minyak di negara-negara jiran mengalami kenaikan ialah bagaimana kenderaan Thai dan juga Singapura berpusu-pusu mengisi minyak di Malaysia.
Kerajaan umumkan kenaikan petrol sebanyak 78 sen ke RM2.70, kenaikan melebihi 40 peratus.
Saya mungkin tersilap, tetapi ternampak kekurangan jumlah kenderaan di jalanraya hari ini. Tetapi kesannya bukanlah terhad kepada itu sahaja. Barangan pengguna, perkhidmatan dan barangan mewah akan mengalami peningkatan harga.
Kos sara hidup sudah tentu meningkat. Dilihat daripada sudut lain akan tercetus inflasi dan taraf kehidupan akan menurun.
Memanglah kenaikan harga petrol di sini jauh lebih rendah daripada di United Kingdom, mahupun Amerika Syarikat. Tetapi pendapatan per kapita kita adalah lebih kurang satu pertiga mereka. Berasas kepada kuasa membeli kita kenaikan harga adalah lebih tinggi dari UK atau Amerika Syarikat.
Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat.
Beberapa hari lepas Kerajaan putuskan untuk haramkan penjualan minyak kepada kenderaan milik asing. Tunggang. Sekarang kenderaan asing dibenar membeli semula. Terbalik!
Mengetahui yang ianya akan menaikkan harga minyak dalam beberapa hari dan orang asing akan dibenar membeli, kenapa Kerajaan tidak menunggu sahaja daripada keluaran arahan larangan dan kemudian benarkan semula.
Namun begitu apakah yang Kerajaan boleh lakukan untuk meringankan beban kepada rakyat hasil daripada kenaikan harga petrol.
Pertamanya, Kerajaan tidak patut mengapungkan Ringgit. Kadar apungan menyebabkan ketidak-tentuan nilai Ringgit dan kita tidak akan meraih apa-apa keuntungan daripada kekuatan Ringgit. Sudah tentu rakyat tidak menikmati peningkatan kuasa membeli walaupun terdapat peningkatan nilai Ringgit dari segi tukaran dengan Dollar Amerika.
Sebenarnya Ringgit mengalami peningkatan lebih kurang 80 sen (daripada RM3.80 ke RM3.08 pada 1 US Dollar) satu US Dollar, melebihi 20 peratus. Jika Kerajaan teruskan sistem tambatan kadar dan menaikkan nilai Ringgit pada kadar 10 peratus pada satu masa, kos import, dalam Ringgit boleh dipantau dan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Pada kadar kenaikan 20 peratus, kos import patutnya turun 20 peratus. Tetapi kita tahu harga barangan import dan perkhidmatan tidak kurang. Ini bermakna kita bayar 20 peratus lebih tinggi untuk import termasuk bagi bahan mentah dan komponen untuk industri
Oleh sebab harga minyak disebut dalam Dollar Amerika, kenaikan harga minyak dalam Dollar sepatutnya dikurangkan sebanyak 20 pertaus dalam Ringgit Malaysia.
Tetapi Kerajaan hendak turut Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia dan telah putuskan untuk mengapung Ringgit. Akibatnya kekuatan Ringgit hanya meningkatkan kos export tanpa memberi sebarang keuntungan kepada rakyat menerusi kekurangan kos import.
Ini bukanlah kecerdikan selepas sesuatu itu terjadi. Saya telah beritahu seorang Menteri Kerajaan supaya Ringgit tidak diapungkan tiga tahun lalu. Memanglah saya bukan pakar dan saya hanya tahu serba sedikit tentang rejim kewangan antarabangsa.
Saya percaya umum terpaksa menerima kenaikan harga petrol. Tetapi apa yang menimbulkan kemarahan ialah jumlah kenaikan serta keadaan tergesa-gesa. Perdana Menteri sebelum ini seolah-olah mencadangkan kenaikan hanya pada bulan Ogos, tetapi ianya datang dua bulan lebih awal, sejurus selepas pengharaman penjualan kepada orang asing.
Jika kenaikan berperingkat, rakyat tidak akan terlalu terasa. Tetapi ini bermakna Kerajaan perlu terus beri subsidi walaupun tahapnya akan menurun.
Mampukah Kerajaan terus beri subsidi? Saya “penasihat” Petronas tetapi saya tahu sedikit sahaja berkenaannya dan tidak lebih daripada apa yang dilaporkan dalam akaunnya yang diumumkan. Apa yang saya tahu mungkin tidak begitu tepat tetapi cukup untuk saya membuat beberapa penilaian.
Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong di export.
Tiga tahun lalu minyak mentah dijual pada kadar USD30 satu tong. Hari ini ianya USD130 – kenaikan sebanyak USD100. Hampir tiada peningkatan di dalam kos pengeluaran oleh itu lebihan USD100 boleh dianggap untung bersih.
250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit).
Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan.
Kerajaan ini melimpah dengan wang.
Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.
Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan Kerajaan.
Di dalam jangka masa terdekat cara untuk mengurangkan pembaziran dan menaikkan pendapatan mestilah diperkenal. Kita mungkin tidak dapat menetapkan gaji minima, tetapi sudah tentu kita boleh meningkatkan sedikit jumlah gaji minima.
Sebenarnya pendapatan kita tinggi berbanding sesetengah jiran kita. Pelabur yang datang ke sini tertarik bukan dengan harga buruh murah, tetapi faktor-faktor lain termasuk sikap dan pendekatan Kerajaan tehadap komuniti perniaga terutamanya pelabur.
Daripada apa yang saya dengar, sikap mesra peniaga amat berkurangan pada Kerajaan sekarang hinggakan orang Malaysia juga melabur di luar negara. Terdapat cakap-cakap berkenaan hubungan politik mempengaruhi keputusan. Secara amnya ahli politik Kerajaan dikatakan sombong.
Malaysia tidak punyai cukup tenaga kerja. Industri yang memerlukan tenaga pekerja yang ramai tidak menguntungkan Malaysia. Pekerja asing menghantar jumlah wang yang besar ke negara asal mereka.
Polisi industri mestilah bertukar agar teknologi tinggi dapat dipromosikan untuk memberi rakyat Malaysia lebihan pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.
Dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai Dollar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan dan akiviti tamak “hedge funds” yang berterusan. Kemungkinan berlakunya resesi ekonomi Amerika Syarikat adalah benar. Sebenarnya Amerika Syarikat sedang mengalami kelembapan ekonomi. Ekonomi dunia akan turut ditarik turun.
Malaysia juga akan terjejas kesan daripada semua masalah ini. Saya tertanya adakah Kerajaan bersedia untuk menghadapi semua ini.
Kita tidak boleh lari daripada akibat negatif tetapi mestilah ada cara untuk mengatasinya agar beban yang terpaksa ditanggung rakyat dapat dikurangkan. Saya harap yang Kerajaan tidak akan melepaskan sahaja segala masalah ini kepada rakyat seperti ynag digambarkan cadangan untuk menilai harga minyak setiap bulan.
Sumber: Oil Price oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis, 5 Jun, 2008
Thursday, June 5, 2008
Harga Minyak
Monday, June 2, 2008
Kesetiaan kepada UMNO
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
1. Saya kurang faham dakwaan pemimpin-pemimpin tertentu UMNO bahawa mengkritik atau mendesak Presiden UMNO berhenti bermakna tidak setia kepada UMNO.
2. Tun Razak dan beberapa pemimpin UMNO yang lain telah tidak bersetuju dengan yang di Pertua UMNO Dato Onn Jaafar berkenaan dengan cadangannya untuk buka UMNO kepada semua kaum sehingga Dato Onn terpaksa undur.
3. Apakah sikap dan perbuatan Tun Razak dan rakan-rakannya ketika itu bermakna mereka tidak sayang dan tidak setia kepada UMNO?
4 Pada 1969-71 Tun Razak dan lain-lain pemimpin UMNO secara tidak langsung tidak bersetuju dengan kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tunku telah undur diri.
5. Apakah Tun Razak kerana menolak kepimpinan Tunku, iaitu tidak setia kepada Tunku sebagai Presiden UMNO maka dianya tidak setia kepada parti?
6. Pada tahun-tahun 1986-7 [Tun] Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan DATO SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI bertindak untuk menjatuhkan saya sebagai Presiden UMNO. Mereka jelas tidak setia kepada saya.
7. Apakah saya tuduh mereka tidak setia kepada parti? Apakah mereka dilarang berjumpa ahli-ahli UMNO? Apakah mereka ditegah berkempen untuk memburukkan nama saya, tidak undi saya? Apakah tentangan terhadap saya dianggap oleh saya dan oleh mereka sebagai tidak setia ada parti?
8. Sepatutnya setelah Dato Seri Abdullah kalah dia tidak diterima masuk UMNO Baru kerana tidak setia kepada saya.
9. Tetapi dia diterima masuk dan dibenar bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi dan kemudian Naib Presiden.
10. Jika saya pegang kepada tafsiran sesiapa yang tidak setia kepada saya tidak setia kepada parti, apakah akan saya lantik sekali lagi Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dan kemudian sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan seterusnya.
11. Saya tak suruh ahli UMNO sokong apa yang saya lakukan.
12. Tetapi fikirkanlah akan kewajaran dakwaan sesiapa yang tidak setia kepada Dato Seri Abdullah adalah tidak setia kepada parti UMNO.
13. Apakah UMNO adalah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah UMNO?
14. Jika Abdullah Ahmad Badawi dengan UMNO adalah sama dan satu, maka parti ini bukan lagi UMNO. Apa perlunya saya jadi ahli dalam parti Abdullah Ahmad Badawi?
15. Hanya mereka yang berkepentingan sahaja yang menyebar dan mendokong konsep UMNO adalah Dato Seri Abdullah dan tanpa kesetiaan kepada Dato Seri Abdullah maka ahli tidak setia kepada UMNO.
Sumber: Kesetiaan kepada UMNO oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat, 23 Mei, 2008
"Duri dalam daging"
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
Saya telah ikuti laporan berkenaan keputusan saya keluar dari UMNO yang disiarkan RTM 1, 8 malam, 19 hb Mei. Komen oleh dua pemimpin UMNO amat menggelikan hati saya.
Tun Musa Hitam dakwa saya adalah ‘duri dalam daging yang sekarang sudah dikeluarkan.’
Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging UMNO tahun 1986 - 87 dahulu? Semasa Tun jadi Timbalan Perdana Menteri [di lantik oleh saya]. Tun telah letak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana hendak saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri dan diganti oleh Tun. Atas rayuan ahli Majlis Tertinggi, Tun kembali sebagai Timbalan Presiden UMNO. Rupa-rupanya Tun masih punyai niat untuk jatuhkan saya.
Oleh itu Tun menghasut Tengku Razaleigh yang menjadi musuh ketat Tun supaya lawan saya. Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding Presiden, dan Tun jadi Timbalannya; Tun sebelum itu rayu supaya saya sokong Tun untuk rebut jawatan Timbalan Presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh.
Akhirnya pecahlah UMNO dan muncullah parti serpihan Semangat 46. Tetapi dengan bijaknya Tun tidak menyertainya. Tun selamat dan dilantik oleh saya sebagai perutusan bertaraf Menteri ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tengku Razaleigh terkeluar daripada UMNO Baru dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang Tun ahli UMNO atau tidak.
Satu lagi pemimpin UMNO ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar UMNO, jadi calon bebas dan lawan dengan UMNO, dalam Pilihanraya Kecil dengan simbol kunci.
Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato dibenar kembali ke pangkuan UMNO, Dato akan jadi duri dalam daging UMNO lebih lama. Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihanraya kecil saya bersetuju Dato masuk balik UMNO.
Saya ucap tahniah kerana Dato dapat sekali lagi jadi Menteri. Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya.
Tepuk dulang paku serpih.
Katakan orang awak yang lebih.
Sumber: "Duri dalam daging" oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis, 22 Mei , 2008
"Surat" kepada Perdana Menteri Israel
Oleh Dr. Mahathir Mohamad
1. Terdapat satu surat yang telah diedarkan yang dimaksudkan daripada saya ketika saya menjadi Perdana Menteri, kepada Ehud barak, Perdana Menteri Israel untuk mengucap tahniah diatas perlantikan beliau dan memohon "Tabung Clinton", untuk "tujuan melawan serangan hebat Fundamentalis Islam di Malaysia".
2. Surat ini bukan daripada saya ataupun pejabat saya. Pertamanya, font yang digunakan (di surat tersebut) tidak sama jenis dengan font dalam semua surat saya daripada pejabat Perdana Menteri.
3. Lambang Intstitusi (jata) pada bahagian atas (surat) tidak sama dengan yang terdapat pada kesemua surat saya daripada pejabat Perdana Menteri.
4. Alamat pada sebelah jata juga tidak sama seperti yang terdapat pada kertas rasmi saya. Selalunya alamat tidak dicetak, cuma ada perkataan "Perdana Menteri Malaysia" pada bucu atas sebelah kanan.
5. Kandungan surat tersebut keseluruhannya berbeza dengan surat sebenar yang telah saya hantar ke Ehud Barak. Malangya, Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi menolak keizinan untuk mengeluarkan semula surat saya kepada Perdana Menteri Israel mengutuk mereka (Israel) diatas penindasan mereka terhadap orang Palestin. Tindakan Kerajaan Abdullah ini akan mengubah tanggapan terhadap surat yang diedarkan tersebut.
6. Saya menafikan secara mutlak bahawa surat yang diedarkan dengan catatan "Sumbangan kakitangan JPM untuk Rakyat Malaysia" adalah berasal daripada saya. Ini adalah helah kotor terdesak pengkritik-pengkritik saya kerana mereka tidak menjumpa apa-apa yang boleh digunakan untuk mengeruhkan nama saya.
Sumber: "Letter" to Prime Minister of Israel oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu, 21 May, 2008


